Wartawan MHI sayu lihat kesan banjir besar di Pahang
Keputusan kerajaan Negeri Melaka menggerakkan misi bantuan pasca banjir ke Pahang amat bertepatan kerana negeri terbabit paling teruk terjejas akibat bencana alam itu. Ikuti catatan wartawan Melaka Hari Ini, Mohamad Fazrul Abdul Majid bersama juruvideo, Amirul Ramli yang menyertai misi sulung ini selaku media rasmi.
“TEPAT 8.20 pagi tadi bertempat di Seri Bendahara, Ayer Keroh, Melaka pelepasan konvoi misi bantuan dilepaskan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.
Bermulalah perjalanan kami menaiki kenderaan pacuan empat roda dipandu sukarelawan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya menuju ke Maran, Pahang yang terletak 308 kilometer (km) dari Melaka.
Sejurus tayar bergolek, terdetik perasaan cemas dalam diri saya. Jujur, ini pengalaman pertama saya membuat liputan mengenai satu peristiwa atau lebih tepat musibah besar yang berlaku dalam negara.
Ironinya, peluang itu tiba tatkala negara sedang dilanda gelombang ketiga COVID-19 dan sedang berada dalam fasa Proklamasi Darurat sehingga Ogos depan selain beberapa negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Perasaan cemas itu bagaimanapun hilang sedikit demi sedikit, apabila melihat papan tanda sempadan negeri Pahang.
Sejurus memasuki ke sempadan Pahang, mata saya ‘ligat’ mencari kesan-kesan tinggalan banjir besar yang menjejaskan kira-kira 28,000 orang di negeri ini.
Biarpun melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1, kesan-kesan lumpur dan sisa sampah-sarap tinggalan banjir besar itu boleh dilihat dengan jelas di kiri dan kanan lebuh raya khususnya di sekitar Lanchang dan Temerloh.
Terdapat beberapa pekerja pembersihan bertungkus-lumus membersihkan sisa sampah sarap yang dihanyutkan air banjir.
Memasuki Daerah Maran, iaitu lokasi tujuan utama misi, hati saya makin sayu menyaksikan betapa tragisnya banjir besar yang melanda negeri itu.
Bayangkan Bandar Maran yang biasanya dipenuhi umat manusia, sekelip mata sahaja berubah menjadi bandar atas air menerusi beberapa gambar dan video yang dikongsikan baru-baru ini.
Tidak cukup dengan itu, rumah penduduk turut ditenggelami air sehingga paras bumbung dan apabila surut, lumpur sedalam dua kaki pula terpaksa dibersihkan.
Walaupun keadaan banjir kian pulih, namun difahamkan kerosakan harta benda yang berlaku mungkin akan mengambil masa lama untuk kembali seperti sedia kala.
Selepas menempuh empat jam perjalanan kami akhirnya tiba di Dewan Jubli Perak iaitu lokasi pengumpulan sumbangan bantuan untuk mangsa banjir pada jam 1 petang.
Walaupun keadaan sekitar dewan itu masih dilitupi lumpur, namun kehadiran kami yang diketuai oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman masih disambut mesra Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin bersama petugas Jawatankuasa Bencana Negeri Pahang yang terlibat.
Sumbangan berupa makanan dan barangan keperluan asas bernilai RM80,000 akhirnya selamat diserahkan dan difahamkan ia bakal diagihkan kepada mangsa banjir dalam masa terdekat.
Perjalanan kami di bumi Darul Makmur berakhir selepas upacara penyerahan tersebut.
Walaupun misi itu bantuan ini mengambil masa tidak sampai sehari, namun pengalaman saya bersama juru video Amirul Ramli, akan dikenang sehingga akhir hayat.
Melihat kerosakan dan kemusnahan serta perit yang dialami mangsa banjir di sini membuatkan saya insaf.
Ia mula membuatkan saya berfikir betapa kerdilnya umat manusia di sisi Maha Esa, yang pada bila-bila masa boleh menarik nikmat yang dianugerahkan-Nya selama ini.