Sorting by

×

40 Sukarelawan misi bantuan pasca banjir berlepas ke Pahang

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 16 Jan. – Tepat jam 8.20 pagi tadi, 40 sukarelawan Misi Bantuan Pasca Banjir Kerajaan Negeri Melaka bertolak ke Pahang membawa pelbagai barangan makanan dan keperluan asas untuk penduduk terjejas banjir.

Majlis pelepasan membabitkan konvoi 14 kenderaan itu berlangsung dalam suasana semangat tinggi dan disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali di kediamannya di Seri Bendahara, di sini.

Sulaiman berkata, bantuan itu akan disalurkan terus di pusat pengumpulan bantuan banjir di Dewan Jubli Perak, Maran sebelum kerajaan Pahang mengagihkan bantuan itu kepada mangsa banjir.

“Paling teruk (terjejas banjir) di Pahang, antaranya Raub dan Temerloh, masih tidak selesai lagi jadi eloklah kita ke Pahang.

“Saya harap barangan itu dapat diagihkan sebaik mungkin kepada mangsa banjir kerana difahamkan ada kalangan mereka ini yang tidak dapat bantuan sepenuhnya,” katanya ditemui Melaka Hari Ini (MHI) pada majlis pelepasan itu, pagi tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Sazali Muhd Din dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman yang mengetuai misi bantuan berkenaan ke Pahang.

Pada misi sulung ini, MHI dilantik menjadi media rasmi misi bantuan yang diwakili wartawan, Mohammad Fazrul Abdul Majid dan juruvideo, Amirul Ramli bagi merasai sendiri pengalaman membantu mangsa banjir serta mendalami penderitaan yang mereka hadapi.

Sulaiman dalam pada itu mengulangi peringatan tegas kepada peserta misi bantuan itu untuk mengutamakan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan COVID-19.

Katanya, meskipun negeri Melaka berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua petugas sukarelawan yang menyertai misi bantuan itu disahkan bebas COVID-19 selepas menjalani ujian calitan.

“Saya harap kakitangan yang bergerak ke sana dapat sampaikan barangan keperluan dan selesaikan seterusnya pulang ke negeri ini dalam keadaan selamat.

“Dalam tempoh Ordinan Darurat dan PKP ini, saya harap semua sukarelawan dapat mematuhi segala SOP, malah hanya dua sukarelawan menaiki setiap kenderaan.

“Balik semula ke negeri ini, mereka perlu menjalani ujian calitan sekali lagi, malah dalam perjalanan ke Pahang, kita bekalkan makanan siap dibungkus. Kita tidak mahu wujudkan kluster lain,” katanya lagi.

Terdahulu, Sulaiman dalam Majlis Amanat Tahun Baharu dan Pra Pelancaran Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 Isnin lalu, menyuarakan hasrat murni kerajaan negeri untuk membantu Pahang berikutan paling terjejas akibat bencana alam itu.

Selain Pahang, Sabah, Johor dan Kelantan turut mengalami banjir dan dilaporkan semakin pulih manakala Sarawak menjadi negeri terbaru dilanda banjir minggu ini.

 

Views:

523
Kongsi :
Previous post Tun Salleh meninggal dunia
Next post Jenazah Tun Salleh Abas selamat dikebumikan
Ubah saiz-+=