GERAMM minta kurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan media

Masa Membaca:59 Saat

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Gerakan Media Merdeka (Geramm) meminta kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan dan pemimpin politik agar mempertimbangkan sama ada perlu atau tidak mengadakan sidang media secara fizikal sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Geramm dalam kenyataan semalam berkata, langkah itu berikutan perkembangan terkini kes positif COVID-19 melibatkan beberapa menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pengiring mereka yang secara tidak langsung mendedahkan pengamal media kepada risiko menjadi kontak rapat atau kontak kedua.

“Sebagai ganti, pegawai bertugas boleh menyalurkan maklumat dalam bentuk kenyataan media, live stream, video, foto atau audio mengikut keperluan masing-masing.

“Perlu ditegaskan ini tidak bermakna maklumat harus dikongsi dalam bentuk format berita untuk siaran, kerana setiap organisasi media berhak menentukan sudut berita masing-masing,” menurutnya dalam kenyataan itu.

Memahami laporan media tidak boleh bersifat sehala, Geramm turut memohon kerjasama pihak berkaitan termasuk barisan jemaah menteri supaya membuka luas ruang buat pengamal media meminta penjelasan atau komen mengenai sesuatu isu, tanpa perlu bertemu secara langsung di sidang media.

“Kami menyambut baik apa-apa langkah yang diambil bagi menjamin kebajikan pekerja, selain terus berusaha untuk tetap menghasilkan laporan yang terbaik, selari dengan prinsip kebebasan media yang dijunjung,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Views:

416
Kongsi :
Previous post Nilai sumbangan Misi Bantuan Pasca Banjir Melaka meningkat kepada RM80,000
Next post Tun Salleh meninggal dunia
Ubah saiz-+=