‘Jumaat Menangis’
Bukit Palah 15 Jan. – “Suasana hari ini bagaikan ‘Jumaat Menangis’…, rasa sayu, sebak bila lihat keadaan jemaah yang berkurang,” kata Penolong Ketua Penyelia Pegawai Keselamatan Masjid Al-Azim, Abdul Aziz Abdul Razak.
Kebiasaannya, kata beliau, biarpun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dia bersama dua rakan setugas yang lain sibuk mengawal kemasukan jemaah sehingga memenuhi ruangan masjid.
“Kami akan pastikan setiap ruangan termasuk sayap kiri dan kanan serta tingkat atas dipenuhi jemaah mengikut Prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Tapi hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa semula kali ini hanya 45 jemaah saja dibenarkan bersolat pada satu masa biarpun jumlah yang datang ramai.
“Apa pun kami tetap patuhi arahan dan bertegas dengan syarat yang ditetapkan. Jemaah yang tidak berkesempatan juga akur dengan SOP yang ditetapkan”, katanya.
Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati, Solat Jumaat pada minggu pertama PKP dilaksanakan di negeri ini berjalan dengan lancar mengikut SOP yang ditetapkan.
Masjid Negeri boleh memuatkan lebih 1,400 jemaah tapi kali ini hanya dua saf sahaja digunakan dengan khutbah bertajuk ‘Gambaran Hari Kebangkitan’ disampaikan Imam 1 Masjid Al Azim, Hasbullah Selah.
Sementara itu, pemandu e-hailing Anuar Johari, 56, bersyukur menjadi antara yang terawal dan terpilih bagi mendirikan solat di masjid tersebut.
Katanya, dia hadir seawal 10 pagi bagi mendapatkan maklumat dari pengawal keselamatan berkaitan waktu yang sesuai bagi pendaftaran masuk jemaah.
“Selepas diberitahu pada jam 12.30 tengah hari, saya bergegas pulang ke Alai untuk menukar pakaian dan datang semula jam 12 tengah hari tadi dengan harapan dipilih bagi melaksanakan ibadah ini.
“Alhamdulillah, ramai juga yang hadir dan beratur sebelum memasuki pekarangan masjid dan dengan izin Allah saya antara golongan terawal dan dapat mendirikan Solat Jumaat,” katanya.
Pada masa sama, Pengarah Jabatan Agam Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat tidak menolak kebarangkalian jemaah yang semakin bertambah bagaimanapun ia perlu mengikut kebenaran dan perintah yang bergantung kepada arahan dikeluarkan kerajaan.
“Alhamdulillah Solat Jumaat pada hari pertama PKP berkuatkuasa hari ini berjalan lancar dan jika ada penambahan yang dibenarkan kita tidak ada masalah untuk menambah.
“Bagaimanapun dalam tempoh ini, sebarang aktiviti kelas agama, fardhu ain serta pelbagai lagi tidak dibenarkan di masjid dan mana-mana surau di negeri ini,” katanya.
Terdahulu, enam negeri dikenakan PKP dengan Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah menangguhkan Solat Jumaat.