Terima kasih MAIM, bantu keluarga daif

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TANJUNG BIDARA 15 Jan. – “Syukur, rumah sewa ini lebih selesa buat kami sekeluarga dan tidak perlu lagi berdepan cuaca sejuk pada waktu malam dan menggunakan air telaga,” kata Ahmad Firdaus Mohamad, 37, dari Kampung Londang di sini, yang terharu dapat menghuni rumah sewa menerusi bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), awal bulan ini.

Sebelum ini dia bersama isteri Nurul Amalina Brenjen Abdullah, 30, dan empat anak berusia tujuh bulan hingga tujuh tahun hidup serba daif di dalam pondok usang yang dibina daripada bahan terpakai kira-kira 100 meter daripada rumah sewa itu.

“Terima kasih kepada MAIM dan penderma lain yang sudi membantu kami.

“Sekarang dah katil dan tilam yang selesa berbanding sebelum ini terpaksa tidur beralas papan lapis dan menggunakan pelita,” katanya ketika ditemui di kediaman sewa itu hari ini.

Ahmad Firdaus yang tidak mampu membuat kerja berat akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu, hanya bergantung upah memotong rumput dan menoreh getah di kebun milik ibunya.

Ahmad Firdaus terharu dengan kerprihatinan MAIM membantu dia sekeluarga.

Katanya, dia terhutang budi kepada MAIM yang sudi menjelaskan sewa bulanan RM400, selain berjanji membina rumah baharu untuknya di tapak pondok berkenaan.

“Saya bercadang memelihara lembu dan kerbau selepas ini bagi menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kesempitan hidup Ahmad Firdaus yang menghuni pondok usang sejak dua tahun lalu di dalam kebun getah berkenaan.

Penderitaan itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud yang memohon MAIM membina kediaman baharu untuk keluarga terbabit.

Sementara menunggu kediaman itu dibina, MAIM menyewakan rumah untuk Ahmad Firdaus sekeluarga.

Views:

1099
Kongsi :
Previous post PKP 2.0: Panorama Melaka, hadkan operasi di sembilan laluan
Next post ‘Jumaat Menangis’
Ubah saiz-+=