Boleh Solat Jumaat, terhad 45 jemaah

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 13 Jan. – Solat Jumaat dan solat fardu berjemaah di masjid serta surau di Melaka dibenarkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 selama 14 hari mulai hari ini.

Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dalam kenyataannya berkata, bagaimanapun bagi Solat Jumaat hanya dengan kehadiran 45 jemaah sahaja.

Menurutnya, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas negeri dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali, hari ini.

“Solat Jumaat pada 15 Januari dan 22 Januari depan boleh diteruskan di semua surau yang diberikan kebenaran sementara sehingga satu pengumuman diberikan kelak.

“Kehadiran jemaah ke masjid dan surau yang dibenarkan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan Kementerian Kesihatan Melaysia (KKM),” katanya.

Katanya, selaku pengerusi dan bagi pihak ahli jawatankuasa Fatwa Melaka, beliau memutuskan bagi perlaksanaan solat fardhu berjemaah di masjid dan surau, hanya lima jemaah saja dibenarkan pada waktu utama.

“Mereka terdiri daripada imam, pegawai syarak dan AJK hingga 26 Januari ini atau sehingga pemberitahuan perubahan mengikut Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Sementara itu, menurutnya, ceramah umum, kelas pengajian agama dan kelas al-Quran ditangguhkan dalam tempoh PKP 2.0.

“Jabatan Mufti akan memberikan maklumat lanjut kepada masyarakat dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat dan nasihat daripada KKM.

“Perincian lengkap berhubung aktiviti program dan kelas pengajian di masjid dan surau di negeri ini hendaklah merujuk arahan dikeluarkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM),” katanya.

Views:

812
Kongsi :
Previous post ‘Sekarang masih berlembut, tunggu dua hari lagi’
Next post COVID-19: Melaka catat 72 kes positif baharu
Ubah saiz-+=