Sorting by

×

Kilang ais berdepan denda RM100,000, abai kebajikan kediaman pekerja asing

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BANDA HILIR 13 Jan. – Sebuah kilang ais di Banda Hilir berdepan denda lebih RM100,000 selepas dikesan melakukan kesalahan mengabaikan kebajikan tempat tinggal pekerja asingnya terdiri daripada warga Nepal.

Menerusi operasi khas dijalankan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Melaka, hari ini, pemilik kilang terbabit didapati mengabaikan aspek penginapan pekerja dengan tidak mempunyai perakuan penginapan dan permit penginapan sementara.

Pengarah JTK Negeri Melaka Rosli Jantan berkata, majikan sama juga tidak mematuhi kapasiti tempat tinggal yang ditetapkan dengan kapasiti pekerja asing yang sesak ditempatkan di kawasan asrama.

“Mereka menyediakan kabin tempat tinggal pekerja. Namun, kita dapati ia hanya boleh diduduki lima pekerja, tapi mereka menempatkan tujuh pekerja.

“Mereka juga tidak menyediakan almari, tilam yang sesuai dan tiada peti kecemasan. Kebersihan tempat tinggal juga tidak begitu memuaskan.

“Jadi, untuk kesemua kesalahan itu kita akan buka kertas siasatan untuk mengambil tindakan lanjut kepada majikan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Jelasnya, majikan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 bagi kesalahan di bawah Seksyen 24D (tiada perakuan penginapan) dan Seksyen 24H (tidak menyediakan penginapan yang sesuai) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Manakala, bagi kesalahan tidak menyediakan peti kecemasan dan katil serta almari berkunci, ia tertakluk di bawah Seksyen 3 dan 4 akta yang sama, yang memperuntukkan denda RM1,000.

Dalam operasi sama, pihak JTK Negeri Melaka turut menemui sebilah pedang samurai yang disimpan pekerja asing di dalam bilik asrama terbabit.

Pedang berkenaan bagaimanapun telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Views:

671
Kongsi :
Previous post Lebih 95 peratus majikan di Melaka belum daftar perakuan penginapan pekerja asing
Next post Agong belanja Ebit Lew makan ikan patin
Ubah saiz-+=