PKP2.0: ‘Dua minggu yang sangat penting’ – Rahmad
AYER KEROH 13 Jan. – Kerajaan merayu rakyat di negeri ini supaya memikirkan nasib mereka yang benar-benar terjejas akibat peningkatan kes COVID-19 sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, tempoh dua minggu pelaksanaan PKP2.0 bermula hari ini adalah masa yang sangat penting untuk menurunkan angka kes terbaharu virus pembunuh ini.
Beliau turut mengajak rakyat bersama-sama kerajaan berusaha melandaikan graf kes supaya Melaka dapat dikelaskan semula kepada PKP Bersyarat (PKPB) dan seterusnya PKP Pemulihan (PKPP) agar semua aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan beroperasi semula seperti sebelum ini.
“Jika tidak, semua akan susah, kerajaan juga akan susah. Semua akan kurang pendapatan atau tiada pendapatan.
“Di hospital, pesakit COVID-19 semakin ramai dan sesak manakala pesakit lain pula semakin kekurangan katil. Banyak kes-kes rawatan, pembedahan dan temujanji terpaksa ditangguh kerana mendahulukan kes COVID-19,” katanya dalam tulisan yang disiarkan di Facebook rasmi Kerajaan Negeri Melaka hari ini.
Rahmad berkata, dalam keadaan sukar hari ini dan dalam tempoh 10 bulan ini sejak PKP pertama dilaksanakan Mac tahun lalu, beliau yakin semua rakyat sudah memahami dengan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu.
“Maka tolonglah patuh dan amalkanlah SOP dan janganlah bersalam dan duduk rapat walaupun dengan ahli keluarga sendiri atau saudara dan rakan yang tidak tinggal serumah.
“Jangkitan mendadak di Melaka sekarang ini adalah di sebabkan kealpaan kita yang menyebabkan jangkitan dari kontak keluarga dan kontak rapat.
“Kasihanilah petugas kesihatan yang sudah terlalu penat dan hub kesihatan kita yang semakin tenat,” katanya.