Lebih 95 peratus majikan di Melaka belum daftar perakuan penginapan pekerja asing
BANDA HILIR 13 Jan. – Lebih 95 peratus majikan di negeri ini dikesan belum mendaftar Perakuan Penginapan pekerja asing seperti termaktub dalam Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), sekali gus berdepan tindakan undang-undang.
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Melaka, Rosli Jantan berkata, berdasarkan rekod pihaknya, hanya 82 daripada 1,981 majikan yang menggaji pekerja asing di Melaka sudah membuat perakuan penginapan.
Jelasnya, situasi itu menunjukkan trend membimbangkan kerana negara berdepan tuduhan mengamalkan buruh paksa sekiranya tidak menyediakan penginapan yang mematuhi standard ditetapkan.
“Kita menitik beratkan aspek penginapan kerana kita mahu elakkan majikan Malaysia dituduh mengamalkan buruh paksa. Sebab itulah kita kena pastikan penginapan pekerja asing mengikut standard piawaian antarabangsa.
“Jika kita tidak memenuhi standard itu, kita boleh berdepan sekatan ekonomi seperti yang berlaku pada beberapa syarikat pengeluar sarung tangan.
“Selain itu perakuan penginapan ini juga penting dalam usaha kita melakukan ‘mapping’ atau mengesan penempatan warga asing yang bekerja di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas memeriksa penginapan warga asing di sebuah kilang ais, di Banda Hilir, hari ini.
Justeru beliau meminta semua majikan untuk menyegerakan proses pendaftaran itu yang boleh dilakukan secara atas talian sahaja.
Dalam pada itu, Rosli memaklumkan, JTK Melaka sudah membuka satu kertas siasatan dengan sembilan pertuduhan di atas pelbagai kesalahan membabitkan penginapan warga asing.
Ujarnya, antara pertuduhan tersebut ialah masing-masing satu di bawah Seksyen 24D (tiada perakuan penginapan), Seksyen 24H (tidak menyediakan penginapan yang sesuai) dan Seksyen 3 (tidak menyediakan peti kecemasan dan tong sampah) serta enam lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4 di bawah kesalahan tidak menyediakan katil dan almari berkunci.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 24D dan 24H memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000, manakala kesalahan di bawah Seksyen 3 dan 4 masing-masing memperuntukkan denda RM1,000,” katanya.
Untuk rekod, setakat Januari 2021, seramai 54,354 warga asing telah direkodkan bekerja di Melaka.