The Andaman Resort Langkawi terbakar, api masih marak
Langkawi 13 Jan – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, mengesahkan gambar tular mengenai kebakaran membabitkan sebahagian bangunan sebuah resort peranginan lima bintang, di sini adalah benar.
Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, bagaimanapun operasi pemadaman masih dilakukan di hotel terbabit ketika ini.
Katanya, Pusat Gerakan Operasi Negeri Kedah menerima panggilan melalui Sistem MERS 999 jam 4.08 petang semalam dan mengarahkan dua jentera dan sebuah EMRS ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, api sedang marak. Pihak Hotel Andaman telah mengambil tindakan melakukan pemadaman menggunakan sistem pepasangan keselamatan di bangunan empat minit selepas panggilan dibuat.
“Kebakaran melibatkan bangunan pengurusan di bahagian bumbung, empat tingkat dan kelas A dan api dapat dikawal pada jam 5.16 petang semalam,” katanya dihubungi hari ini.
Sayani berkata, setakat semalam terdapat empat mangsa kakitangan hotel tersebut didapati mengalami sesak nafas dan muntah selepas membantu membuat pemadaman.
“Tindakan EMRS menghantar mangsa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, pihak pemadam mengalami masalah bekalan air dan akses untuk melakukan pemadaman di bahagian atas bumbung tersebut.
Berita lanjut menyusul