PKP: Mini Malaysia & ASEAN Cultural Park tutup mulai esok
AYER KEROH 12 Jan. – Mini Malaysia & ASEAN Cultural Park akan ditutupĀ sementara kepada pengunjung mulai esok hingga 26 Januari ini, susulan pelaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri termasuk Melaka.
Menurut kenyataan Mini Malaysia & ASEAN Cultural Park di Facebook rasminya sebentar tadi, keputusan dibuat sebagai pematuhan arahan Majlis Keselamatan Negara yang menegaskan bahawa aktiviti pelancongan tidak dibenarkan.
“Sehubungan itu, Mini Malaysia & ASEAN Cultural Park juga tidak terkecuali akan ditutup kepada pengunjung bermula esok hingga 26 Januari ini.
“Semoga kita semua sentiasa mematuhi segala arahan yang diberikan oleh kerajaan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yangĀ ditetapkan,” katanya.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri iaitu Melaka, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Johor dan Sabah selama 14 hari bermula esok.
Untuk tempoh sama, enam lagi negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan pula dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak.
Negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum.
KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat