SOP lebih terperinci PKP diumumkan esok: Ismail Sabri
KUALA LUMPUR 10 Jan – Susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, prosedur operasi standard (SOP) yang lebih terperinci mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diumumkan esok, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri menerusi kenyataan media perkembangan PKP dan PKP Pemulihan hari ini berkata, perkara tersebut bakal diumumkan dalam sidang media hariannya pada 5 petang esok.
“Pada masa sama, kementerian berkaitan seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, serta Kementerian Kerja Raya juga, akan mengumumkan SOP yang berkaitan mengikut kementerian masing-masing,” katanya.
Sementara itu, tidak memakai pelitup muka menjadi kesalahan tertinggi ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) direkodkan semalam, dengan 173 individu ditahan atas kesalahan itu.
Beliau berkata secara keseluruhan, 572 individu ditahan semalam termasuk seorang direman dan daripada jumlah itu 157 atas kesalahan aktiviti pusat hiburan, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (115), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (115) dan lain-lain (12).
Ismail Sabri memaklumkan pihak berkuasa turut menahan 16 pendatang tanpa izin, serta merampas tiga kenderaan darat dalam Op Benteng semalam.
Sementara itu, sejak 24 Julai 2020 hingga semalam seramai 102,642 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa, dengan 8,375 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.
Ismail Sabri turut mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) beberapa kawasan iaitu, Madrasah Daril Naim, Padang Halban, Mukim Peringat, Kota Bharu di Kelantan dan Kampung Paginatan dan Kampung Maringkan, Ranau di Sabah pada hari ini, seperti yang dijadualkan.
Penamatan ini dibuat atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Sementara itu, bagi PKPD di Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA), beserta kuarters kakitangan di Taiping, Perak ditamatkan pada 12 Januari seperti dijadualkan.
Bagaimanapun, ini tidak termasuk blok penempatan OKT di Pusat Transit Penerimaan (PTP), melibatkan Blok Gemilang, Blok Harapan, Blok Jaya dan Blok Abadi (PKRC), yang mana PKPD di blok-blok penempatan ini dilanjutkan sehingga 26 Jan.- BERNAMA