Sasar 15,000 pencari kerja sertai Karnival Penjana Kerjaya Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KUALA LINGGI 11 Jan. – Karnival Penjana Kerjaya Melaka yang dijadual berlangsung  bulan depan disasar akan disertai seramai kira-kira 15,000 pencari kerja di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Ar Ismail Othman berkata, sasaran itu dianggap relevan memandangkan ramai dalam kalangan rakyat yang kini hilang mata pencarian khususnya tatkala pandemik COVID-19 melanda negara sejak Mac tahun lalu.

Jelasnya, karnival yang akan diadakan itu juga bakal diadakan berskala lebih besar dengan penglibatan lebih ramai majikan daripada pelbagai sektor dan bidang.

“Kali ini, kita memanggil lebih ramai penggiat industri untuk turut serta, termasuklah persatuan pengilang-pengilang yang telah menyatakan minat mereka mencari pekerja melalui karnival ini.

“Jadi, sudah tentulah kita sasarkan jumlah yang lebih besar menyertai karnival kali ini, paling tidak kita harap 10,000 ke 15,000 orang boleh hadir dalam satu sesi.

“Namun, semua itu bergantung kepada situasi semasa COVID-19. Jika keadaan serius mungkin, kita terpaksa menunda karnival ini,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini dalam majlis penyampaian sumbangan di Kompleks JAPERUN Kuala Linggi, hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dalam perutusan amanat tahun baharu 2021 mengumumkan Karnival Penjana Kerjaya Peringkat Negeri Melaka yang akan diadakan pada akhir Februari 2021.

Jelasnya, karnival tersebut bakal diadakan dalam skala lebih besar berikutan kejayaan penganjuran terdahulu yang berjaya membantu seramai 1,073 pencari kerja mendapat pekerjaan.

 

Views:

583
Kongsi :
Previous post Aktiviti sosial sewaktu PKP tidak dibenarkan – PM
Next post Galak anak muda sertai SRS
Ubah saiz-+=