Dua suspek kes samun ditahan, seorang diburu

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

 

KESIDANG 11 Jan – Polis yakin menumpaskan sindiket dipercayai aktif melakukan samun dan pecah rumah serta curi kenderaan di empat negeri termasuk negeri ini, selepas menahan sepasang kekasih dalam serbuan di sebuah hotel bajet di Jalan Kesidang, di sini, hari ini.

Menerusi serbuan jam 12.40 tengah hari itu sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah menahan lelaki berusia 38 tahun dan teman wanitanya berusia 42 tahun manakala seorang lagi suspek lelaki berusia 34 tahun melarikan diri.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, ketika serbuan, ketiga-tiga suspek bertindak melarikan sebelum seorang daripada mereka cuba merempuh kenderaan polis dan menyebabkan seorang anggota polis cedera di tangan.

Katanya, berikutan itu polis melepaskan tiga das tembakan yang mengenai tayar kereta PERODUA Myvi dinaiki suspek.

“Suspek lelaki berkenaan cedera di kedua belah tangan akibat bergelut dengan polis manakala suspek wanita tidak cedera.

“Seorang lagi suspek lelaki sempat melarikan diri dan kita sedang mengesannya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu aktif melakukan kegiatan samun dan pecah rumah serta curi kenderaan di negeri Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Melaka.

“Dengan penahanan dua suspek ini, kita berjaya menyelesaikan 10 kes samun dan pecah rumah serta curi kenderaan di Melaka sahaja sejak lima bulan lalu.

“Siasatan lanjut mendapati ketiga- tiga suspek menjalankan kegiatan jenayah secara ‘mobile’ (berpindah-randah) dan menjadikan hotel berkenaan sebagai transit persembunyian sejak Selasa lalu,” katanya.

Menurut Abdul Majid, pemeriksaan lanjut terhadap kereta Myvi itu menemukan beberapa peralatan termasuk parang dan kapak dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah tersebut serta pelbagai jenis dadah.

Jelasnya, antara dadah ditemui adalah jenis methamphetamine seberat 20.64 gram; heroin (15.07 gram); empat biji pil kuda (0.56 gram) dan dua pil ekstasi.

MELAKA 11 JANUARI 2021. Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali (kanan) bersama Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner, Afzanizar Ahmad (kiri) menunjukkan kereta suspek yang dipercayai melakukan kegiatan samun dan curi kenderaan di empat negeri termasuk negeri ini diberkas di sebuah hotel bajet di Jalan Kesidang. Gambar RASUL AZLI SAMAD

 

Beliau berkata, pemeriksaan turut mendapati suspek lelaki terbabit memiliki 100 rekod tangkapan dan 40 rekod jenayah lampau termasuk Akta Pencegahan Jenaya (POCA) pada tahun 2018 manakala suspek wanita mempunyai tiga kes jenayah lampau membabitkan dadah.

“Kita percaya semua suspek berkenaan mempunyai rangkaian dan kita akan bekerjasama dengan polis kontinjen Johor, Negeri Sembilan serta Perak bagi mengenal pasti saki baki individu terlibat.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 380 serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

tamat

Views:

814
Kongsi :
Previous post Pelajar rugi lebih RM80,000 terpedaya pelaburan bitcoin
Next post Melaka antara enam negeri laksana semula PKP bermula Rabu ini
Ubah saiz-+=