Menteri Kabinet diarahkan membuat ujian saringan COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

PUTRAJAYA 11 Jan- Semua menteri Kabinet telah diarahkan untuk membuat ujian saringan COVID-19 susulan dua menteri disahkan positif COVID-19, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata tindakan agar semua menteri kabinet menjalani ujian calitan COVID-19 adalah sebagai langkah pencegahan dan pengawalan.

“Dalam penilaian risiko, di dalam kit ujian RT-PCR, kami ada CT-Value iaitu Cycle Threshold (CT) value, yang boleh kami tentukan hari atau masa sebelum mereka berjangkit,” katanya kepada media pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) dan Kementerian Kesihatan (KKM), di sini hari ini.

Ditanya adakah menteri Kabinet akan diarahkan untuk menjalani kuarantin atau boleh meneruskan jadual mereka seperti biasa, Dr Adham berkata perkara itu akan dinilai oleh pasukan petugas perubatan kesihatan awam.

Beliau berkata penilaian risiko akan dibuat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya dan mereka akan mengeluarkan garis panduan kepada jemaah menteri terlibat untuk langkah susulan.

“Penilaian risiko dibuat oleh pasukan petugas perubatan yang pakar dalam kesihatan awam dan mereka akan menilai risiko bagaimana penularan itu berlaku dan bila. Kami akan tahu bila bermula jangkitan itu dan dia (pakar perubatan) akan memberikan panduan,” katanya.

Dilaporkan dua menteri Kabinet iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, telah disahkan positif COVID-19.- BERNAMA

Views:

194
Kongsi :
Previous post Dua suspek kes samun empat negeri ditahan, seorang diburu
Next post Pelajar rugi lebih RM80,000 terpedaya pelaburan bitcoin
Ubah saiz-+=