Tiada pembelian panik, bekalan makanan cukup
AYER KEROH 11 Jan – Tiada pembelian panik berlaku di negeri ini susulan khabar angin mengenai pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, malah bekalan makanan mencukupi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, bekalan makanan di negeri ini masih mencukupi bagi menampung keperluan pengguna dalam tempoh berterusan.
Katanya, situasi itu berdasarkan pemantauan KPDNHEP terhadap 140 perincian Peruncit Terpilih Daerah (DDR) dan 58 Pemborong Terpilih Daerah (DDW) serta sejumlah Mini Stok dari senarai DDW yang terdiri daripada peniaga barangan keperluan di seluruh negeri.
“Sehingga semalam pihak kami tidak menerima laporan dan hasil pemantauan penguat kuasa juga mendapati tiada pembelian panik berlaku di negeri ini malah semua bekalan barangan di semua sektor peruncitan masih mencukupi.
“Sejak awal bulan ini sehingga semalam, sebanyak 809 premis perniagaan telah diperiksa bagi memastikan bekalan keperluan harian sentiasa mencukupi di negeri Melaka,” katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata bagi memastikan keperluan itu mencukupi dalam tempoh jangka panjang, pemeriksaan berkala juga akan dipertingkatkan sehingga 50 premis sehari.
“Setakat ini semua premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit masih beroperasi seperti biasa dan ini telah menyumbang kepada kestabilan dan keberadaan barangan keperluan di dalam pasaran.
“Antara barangan yang dipantau termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, cecair sanitasi tangan dan pelitup muka,” katanya.
Norena berkata, sekiranya PKP dilaksanakan, keperluan makanan asas tetap mencukupi kerana pihaknya sudah membuat persediaan berkaitan.
“Pada kali ini, kita lebih bersedia berbanding 18 Mac lalu kerana ketika itu kebanyakan premis perniagaan terpaksa ditutup dan memberi kesan kepada keberadaan bekalan barangan keperluan di dalam pasaran,” katanya.