Kerajaan rangka pelan pascabanjir baik pulih kediaman
GADEK 9 Jan. – Ribuan mangsa banjir yang mengalami kerugian akibat banjir akan dibantu menjalani kehidupan normal melalui pelan pasca banjir yang sedang dirangka ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menjelaskan, pelan berkenaan membabitkan anggota pelbagai agensi kerajaan yang bakal membantu mangsa banjir membersihkan kediaman selain memberi pampasan kerugian akibat kehilangan tempat tinggal dan kerosakan harta benda.
Katanya, setakat ini ada kira-kira 12,000 anggota pelbagai agensi kerajaan, termasuk anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) dan pelan bagi membantu mangsa banjir selepas banjir, sudah disediakan.
“Kita menyediakan 5,000 PPS tetapi yang beroperasi setakat ini hanya 452 dan sudah pastilah banjir menyebabkan ada yang kehilangan tempat tinggal dan kerosakan harta benda.
“Semua itu akan kita nilaikan untuk kita berikan pampasan kerugian dan pada masa yang sama kita turut menyediakan anggota pelbagai agensi untuk membantu mangsa banjir membersihkan kediaman mereka,” katanya selepas menyampaikan sumbangan pakaian dan peralatan persekolahan pada program Kembali ke Sekolah di Balai Raya Genun, Gadek di sini hari ini.
Seramai 1,100 murid dari 101 sekolah dalam Parlimen Alor Gajah menerima sumbangan berkenaan yang bernilai RM165,000.
Beliau berkata, bantuan pasca banjir penting bagi membolehkan mangsa banjir memulakan kehidupan dalam keadaan serba kekurangan akibat mengalami kerugian seumpama itu.
Mohd Redzuan juga berkata, beliau sedia memberikan khidmat jika ditawarkan jawatan Bendahari Perikatan Nasional (PN) di peringkat pusat dan yakin mampu melicinkan pentadbiran parti.
Beliau diminta mengulas desas-desus pelantikan berkenaan bagi membantu PN meneruskan kerjasama dengan parti lain, terutama PAS.
Mengenai pembabitannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Masjid Tanah, beliau berkata, beliau juga bersedia memberikan khidmat berdasarkan posisinya sebagai ‘ex-officio.’
Mohd Redzuan adalah pengasas BERSATU Melaka dan pernah menerajui kepemimpinan BERSATU Bahagian Masjid Tanah sebagai Ketua Penaja parti berkenaan pada 2018.
Bagaimanapun beliau tewas kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin dalam pemilihan bahagian itu pada 24 Februari 2020.