Semua projek perlu dilengkapi Internet – KM

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

MASJID TANAH 9 Jan. – Bagi memastikan bandar yang lestari dan mampan, semua projek pembangunan di negeri ini diwajibkan dilengkapi kemudahan Internet.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, pelaksanaan itu selaras dengan pengiktirafan kerajaan terhadap kemudahan Internet sebagai utiliti ketiga selepas air dan elektrik.

Katanya, penggunaan Internet kini dilihat amat penting dalam keadaan dunia berdepan dengan pandemik COVID-19 apabila rakyat memerlukannya untuk tujuan pendidikan, perniagaan dan aktiviti sosial.

“Saya mohon Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan TM (Telekom Malaysia Berhad) bekerjasama dengan kita dalam memandu dan membimbing bagi merealisasikan penggunaan utiliti digunakan sebaik mungkin.

“Maknanya dalam pembangunan mampan, semua kesalihubungan Internet mesti dilaksanakan oleh pemaju,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Surau Hj Harun dan Bengkel Pemprosesan Makanan Industri Asas Tani di Kampung Seri Tanjung di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berikutan itu kerajaan negeri turut melantik SKMM dan TM sebagai majlis penasihat Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) supaya pelaksanaan utiliti ketiga itu diterapkan dalam pembangunan ekonomi baharu negeri itu di bawah Pelan Pembangunan Komprehensif Hala Tuju Melaka Lestari menerusi tiga fasa bermula 2020 sehingga 2035.

“Segala infrastruktur pada keseluruhan 7,082 hektar dalam pembangunan M-WEZ itu dilengkapi dengan kemudahan pendigitalan yang akan menjadi teras utama.

“Kedua-dua agensi itu sebagai ‘advisory council’ bagi memberi panduan bagaimana ‘connectivity’ di kawasan di negeri Melaka untuk M-WEZ terapkan di setiap pembangunan akan datang,” katanya.

tamat

Views:

509
Kongsi :
Previous post Fokus stabil urus tadbir negara dan perangi COVID-19
Next post Anak Melaka dipelawa lanjut pelajaran di KUIM
Ubah saiz-+=