Pembinaan Surau Hj Harun diteruskan

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

MASJID TANAH 9 Jan. – Pembinaan Surau Hj Harun yang diluluskan Kerajaan Persekutuan pada 2017 sebelum dibatalkan kerajaan terdahulu akan diteruskan semula dengan nilai keseluruhan kos sebanyak RM180,000.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, projek berkenaan sebelum ini dijangka dilaksanakan semula selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebaik memperoleh separuh daripada peruntukan kos sebanyak RM500,000.

Bagaimanapun, pembinaan surau baharu itu terhenti dan dibatalkan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada tahun 2018.

“Tugas kita dalam syariah Islam, yang pendek kita panjangkan, yang sempit kita luaskan, yang rendah kita tinggikan.

“Begitu juga yang buruk kita sempurnakan kalau tidak dilaksanakan maka hilanglah rumah Allah dalam kampung ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Surau Hj Harun dan Bengkel Pemprosesan Makanan Industri Asas Tani di Kampung Seri Tanjung di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Md Rawi Mahmud .

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, bagi meneruskan pembinaan surau itu Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengambil inisiatif untuk meneruskan projek pembinaan surau itu dengan peruntukan baharu membabitkan kos berjumlah RM180,000.

“Pengarah JAIM menghubungi saya dan memaklumkan tidak perlu batal sebaliknya menggunakan peruntukan JAIM dan Alhamdulillah ia telah dilaksanakan dengan kapasiti jemaah berjumlah 60 orang,” katanya.

Terdahulu, beliau turut menghadiri Majlis Penyerahan Rumah Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada Siti Hawa Shariff dengan pembinaan rumah dilengkapi perabot bernilai lebih RM50,000.

Views:

861
Kongsi :
Previous post PKRC 2.0 MAEPS tidak seburuk yang ditularkan – Redzuan
Next post Fokus stabil urus tadbir negara dan perangi COVID-19
Ubah saiz-+=