COVID-19 : 157 individu Kluster Anak Air disaring

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 8 Jan. – Kerajaan negeri mengesan kes pertama penularan COVID-19 Kluster Anak Air pada 30 Disember 2020 berpunca daripada pendakwah bebas yang mengadakan ceramah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, bagaimanapun kluster itu diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan Negeri Melaka (KKM) pada 6 Januari lalu.

“Kluster Anak Air ini melibatkan daerah Melaka Tengah dan Jasin, punca dikenalpasti adalah aktiviti seorang pendakwah bebas yang membuat ceramah di lebih 30 surau dan masjid.

“Setakat semalam seramai 157 orang telah disaring yang mana 114 negatif, 28 kes masih menunggu keputusan dan 16 kes didapati positif,” katanya ketika dihubungi MHI.

Jelasnya, antara lain wujudnya kluster tersebut kerana ramai yang tidak mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dengan betul semasa menghadiri program-program penceramah itu.

“Saya menyeru orang ramai buat masa ini elakkan pergi ke tempat-tempat yang sesak dan majlis keramaian, tangguhkan apa-apa perjumpaan yang melibatkan orang ramai.

“Terus amalkan SOP, ‘kita jaga kita’ itu sangat penting dan vaksin utama mencegah penularan COVID-19,” katanya.

Dalam pada itu, Rahmad meminta supaya Jabatan Mufti Melaka menyambung semula penangguhan aktiviti-aktiviti di masjid dan surau kecuali solat Jumaat.

“Jabatan mufti juga sudah keluarkan surat tangguhkan untuk satu minggu lagi bagi mengekang wabak ini,” katanya lagi.

Views:

322
Kongsi :
Previous post COVID-19: 343 pasangan bertelagah, 19 bercerai
Next post Tidak sesuai banding negara lain untuk laksana PRU15 – KJ
Ubah saiz-+=