COVID-19: 343 pasangan bertelagah, 19 bercerai

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 8 Jan. – Tidak sekadar menjejaskan kesihatan dan ekonomi rakyat, kesan pandemik COVID-19 turut dipercayai menjadi punca pergolakan dan keganasan rumah tangga pasangan di negeri ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, ia dapat dilihat apabila seramai 343 pasangan suami isteri di negeri ini mengalami permasalahan dalam menguruskan rumah tangga tahun ini, termasuk 19 pasangan bercerai.

Menurutnya, angka keganasan direkodkan tahun lalu itu juga meningkat hampir empat kali ganda berbanding 90 kes keganasan domestik pada 2019.

KETUA Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali

“Peningkatan kes direkodkan sejak Januari tahun lalu sebelum meningkat secara mendadak pada Mei serta Jun iaitu pertambahan masing-masing sebanyak 57 dan 60 kes berbanding jumlah tertinggi direkodkan adalah 19 kes pada November 2019.

“Namun pada tahun lalu, kes keganasan domestik dilihat naik mendadak dengan sebanyak 64 kes direkodkan pada Mei dan 63 kes pada Jun ketika negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat COVID-19.

“Keganasan rumah tangga ini secara tidak langsung juga boleh dikatakan berlaku disebabkan tekanan yang dihadapi oleh pasangan suami isteri melibatkan urusan kewangan keluarga pada waktu pandemik ini,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, daripada kesemua 343 tersebut, sebanyak 171 kes telah pun dituduh di mahkamah melibatkan Seksyen 323/324/326 Kanun Keseksaan yang menyebabkan kecederaan.

“Pada tahun ini terdapat dua kes melibatkan Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan parah dengan kedua-duanya kes melibatkan mangsa adalah isteri,” katanya.

Ditanya apakah punca keganasan Abdul Majid berkata, masalah kewangan merupakan motif utama dengan sebanyak 77 kes direkodkan, diikuti sikap panas baran (48), cemburu (44), pengaruh dadah (41), mabuk (27), salah faham (17), penceraian (19), mempunyai hubungan sulit (14) dan leka bermain aplikasi WhatsApp sebanyak 12 kes.

“Turut direkodkan adalah perebutan anak 11 kes, malas membuat kerja rumah (lapan), abai tanggungjawab (tujuh), mental (dua) dan bakinya masing-masing merekodkan satu kes.

“Sejumlah besar kes yang berlaku membabitkan mangsa berusia 31 sehingga 40 tahun seramai 143 orang, diikuti usia 21 hingga 30 tahun (79) dan 41 hingga 50 tahun (49),” katanya.

Views:

386
Kongsi :
Previous post PKM: 29 pesalah sudah jalani hukuman – JKM
Next post COVID-19 : 157 individu Kluster Anak Air disaring
Ubah saiz-+=