Rangka pelan kontigensi bekal sumber air mentah – KM

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR 7 Jan. – Kerajaan Melaka merangka pelan kontigensi bagi memastikan sumber air mentah mencukupi untuk keperluan asas pengguna di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pelan itu meliputi pengepaman air dari kolam-kolam alternatif bagi jangka masa pendek, projek jangka masa sederhana bagi mendalamkan empangan dan kolam-kolam takungan sedia ada.

“Projek jangka masa panjang seperti pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) sedang dan telah dilaksanakan seperti diumumkan dalam Pembentangan Belanjawan 2021 Negeri Melaka.

“Termasuk projek-projek yang dibincangkan pada hari ini iaitu Kajian Pembinaan Coastal Reservoir dan Kajian Inter Basin Water Transfer.

“Kajian kemungkinan telah dijalankan selama enam bulan bermula 11 Julai 2020 bagi mengkaji pembinaan empangan pantai (coastal reservoir) di lembangan sungai-sungai Negeri Melaka serta inter basin water transfer dari mana-mana tadahan air untuk dialirkan ke empangan sedia ada,” katanya melalui Facebook rasminya hari ini.

Pelan itu diputuskan dalam Majlis Mesyuarat JK Teknikal Bil.4 Bahagian Pembentangan Draf Laporan Akhir & Stakeholder Engagement bagi kajian kemungkinan bagi Inter Basin Transfer di Empangan Negeri Melaka & Kajian Kemungkinan Pembinaan Takungan Pesisir Pantai (Coastal Reservior) di Lembangan Sungai-Sungai Negeri Melaka di Kuala Lumpur, petang tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Hasim Hasan, Ketua-Ketua Jabatan, Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Menurut Sulaiman, kajian itu dijalankan bagi menilai kebolehupayaan pembinaan empangan pantai dan penyaluran air sebagai salah satu sumber air baharu Melaka.

“Berkait itu, kemampuan sumber air (yield) di enam lembangan sungai utama di Melaka telah dianalisa dengan kaedah penilaian imbangan air (water balance) dan hasilnya telah diperincikan di dalam laporan kajian ini.

“Enam lembangan sungai tersebut adalah Lembangan Sungai Linggi, Lembangan Sungai Baru, Lembangan Sungai Melaka, Lembangan Sungai Duyong, Lembangan Sungai Merlimau serta Lembangan Sungai Kesang,” katanya.

Untuk rekod pada awal tahun 2020, Melaka menghadapi krisis air sehingga terpaksa melaksanakan Bekalan Air Berjadual (BAB) pada 29 Januari 2020 sehingga 31 Mac 2020.

Ia melibatkan sejumlah 735,221 orang isi rumah bersamaan 83.81 peratus penduduk Negeri Melaka.

Ketika itu, penurunan paras empangan disebabkan kurangnya taburan hujan di kawasan tadahan bermula April 2019 di mana jumlah hujan yang dicatat pada sistem telemetri Empangan Durian Tunggal pada tahun 2019 adalah berjumlah 1172mm berbanding 2174mm pada tahun 2017.

Sementara itu, bagi rekod pada tahun 2019, jumlah purata hujan di Negeri Melaka hanya 1,387 mm yang mana ianya lebih rendah 25 peratus dari purata hujan tahunan.

Ini menjadikan 2019 adalah keadaan kemarau paling teruk pernah direkodkan dalam tempoh 66 tahun di Melaka.

Views:

934
Kongsi :
Previous post COVID-19: Kes harian tertinggi dengan 3,027 kes baharu, lapan kematian
Next post Kucing jadi penonton dua ular ‘bergusti’
Ubah saiz-+=