Sorting by

×

Dua warga Myanmar positif syabu ditahan, seorang cedera ketika cuba lari

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 7 Jan – Tindakan empat lelaki warga Myanmar yang cuba meloloskan diri daripada serbuan polis tidak berjaya apabila dicekup dalam serbuan di sebuah premis di Taman Merdeka, di sini semalam.

Serbuan yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka pada jam 1 pagi itu menahan lelaki warga asing berusia antara 24 hingga 26 tahun di lokasi berkenaan.

Ketua JSJN negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata ketika serbuan itu, pihaknya mengarahkan semua suspek membuka pintu premis terbabit namun tidak diendahkan.

Katanya, berikutan itu polis bertindak membuka pintu terbabit secara paksa dan mendapati semua suspek berkenaan berada dalam premis itu.

“Akibat ketakutan, kesemua suspek berlari ke arah tingkap dan seorang daripadanya yang berusia 25 tahun bertindak terjun ke tingkat bawah premis.

“Suspek yang terjun ke tingkat bawah premis itu bagaimanapun mengalami kecederaan di kaki dan kepala sebelum dia dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan awal mendapati dua daripada empat suspek positif dadah jenis methaphetamine (syabu) manakala dua lagi termasuk yang cedera negatif dadah dan dibebaskan tanpa syarat.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan jenayah dan dadah yang berlaku di kawasan sekeliling.

Views:

356
Kongsi :
Previous post PRU-15: PAS Melaka harap lebih tiga kerusi termasuk parlimen
Next post COVID-19: Kes harian tertinggi dengan 3,027 kes baharu, lapan kematian