Pengguna disaran adu kepada KPDNHEP jika hadapi masalah jual beli
BANDARAYA MELAKA, 6 Jan – Masyarakat diseru supaya segera mengadukan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekiranya mengalami sebarang permasalahan dalam pengurusan jual beli di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Wira Ar. Ismail Othman berkata, ia berikutan masyarakat mengambil pendekatan untuk berdiam diri dan tidak mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa antara kelemahan yang dikenal pasti dalam menangani masalah isu kepenggunaan di negeri ini.
“Setakat ini tiada aduan disalurkan kepada KPDNHEP terutama mengenai masalah harga barangan yang dihadapi biarpun pelbagai masalah dan rungutan dari pengguna diluahkan di media sosial seperti Facebook.
“KPDNHEP akan melaksanakan tindakan sekiranya menerima aduan dari pengguna dan ini seolah-olah menampakkan masyarakat menerima perkara yang berlaku hari ini sebulatnya.
“Sedangkan pelbagai operasi telah dilaksanakan di pasar raya serta pelbagai premis lain tetapi tiada rungutan dan aduan dari pengguna yang mengalami masalah diterima agensi ini,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pengguna Cakna, Pemangkin Gaya Hidup Lestari di Menara Prudential, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah KPNDHEP Melaka, Norena Jaafar dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Dr Abu Bakar Mohd Diah.
Dalam perkembangan lain, Norena berkata trend penipuan dalam aktiviti jual beli atas talian turut berlaku di negeri ini turut direkodkan berlaku sejak kebelakangan ini.
Jelasnya, pihaknya telah menerima kira-kira 900 aduan berkaitan permasalahan terbabit membabitkan kenyataan yang disampaikan pada pengiklanan tidak sama seperti yang dilabelkan pada produk yang dijual.
“Pengguna perlu memahami dengan jelas berkaitan apa yang dipaparkan pada kenyataan yang dikeluarkan pada setiap iklan dan sekiranya terdapat rasa sangsi terhadap apa yang dipaparkan orang ramai perlu membuat aduan dengan menghubungi kami agar tindakan segara diambil KPDNHEP,”katanya.
Untuk rekod, terdapat 900 kes kepenggunaan atas talian dilaporkan pada tahun lepas, manakala 90 peratus daripadanya berjaya diselesaikan oleh pihak KPDNHEP Melaka.