Syarikat arang batu diberi dua pilihan jika mahu terus operasi
AYER KEROH, 5 Jan – Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengadakan pertemuan bersama syarikat arang batu Khamis ini bagi mengemukakan jalan penyelesaian bagi mengurangkan pencemaran habuk yang membelenggu penduduk di Kampung Balik Bukit, Tanjung Kling, dekat sini.
Pengarahnya, Rosli Osman berkata pihaknya mengadakan mesyuarat menerusi jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan mengenai perkara itu di Pelabuhan Tanjung Beruas.
Katanya, hasil daripada mesyuarat khas pihaknya bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Sembilan dan Melaka, Lembaga Pelabuhan Melaka dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), dua cadangan dikemukakan kepada syarikat operator tersebut bagi mengatasi masalah pencemaran udara.
“Syarikat operator yang menguruskan pengendalian arang batu itu diberi dua pilihan iaitu kita minta mereka menggunakan mesra alam dengan memperolehi arang batu dari Indonesia secara ‘packing’ atau secara ‘big jumbo bag’.
“Kita tidak mahu mereka mendapatkan arang batu secara pukal sebab itu berlaku pembuangan habuk di udara kerana pelabuhan itu berhampiran dengan industri dan perumahan, jadi tidak sesuai digunakan cara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) selepas mengadakan kunjungan hormat JAS ke pejabat MHI, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, sekiranya syarikat berkenaan gagal mematuhi pilihan yang dikemukakan, arahan menghentikan operasi pemunggahan arang batu itu akan dilaksanakan.
“Difahamkan aktiviti pemunggahan arang batu dari Indonesia dilakukan tiga kali sebulan sejak tahun 2016 dan sebenarnya pelabuhan itu tidak sesuai untuk melakukan aktiviti arang batu secara terbuka.
“Jadi, syarikat operator itu tidak mempunyai pilihan dan jika dua-dua syarat itu dipatuhi, syarikat itu harus memberhentikan operasi arang batu di pelabuhan tersebut,” tegasnya.