Malaysia rekod 32,378,174 kenderaan pada 2020
AYER MOLEK 5 Jan. – Sebanyak 32,378,174 jumlah kenderaan bermotor telah direkodkan di Malaysia pada 2020, menurut statistik yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).
Menterinya Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, jumlah itu sekali gus menunjukkan peningkatan lebih kurang 1.2 juta kenderaan atau 3.8 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu sekitar 31.2 juta buah.
Menurutnya, pertambahan kenderaan itu juga turut meningkatkan bilangan pemandu yang dilesenkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan peningkatan sebanyak 2.86 peratus iaitu seramai 15,810,413 berbanding 15,371,130 pada 2019.
Selain itu, katanya, prestasi kutipan JPJ secara keseluruhan pada 2020 juga menunjukkan prestasi yang baik dan cemerlang iaitu sebanyak RM4.143 bilion, meskipun berdepan cabaran pandemik COVID-19.
“Manifestasinya, peningkatan jumlah output pemandu dan kenderaan ini secara langsung memberikan impak yang besar terhadap semua urusan serta urusniaga berkaitan JPJ, sama ada pelesenan kenderaan, pelesenan pemandu mahupun tugas penguatkuasaan.
“Selain itu, peningkatan jumlah pengguna jalan raya ini memberikan hipotesis yang amat sinonim dengan peranan JPJ berkaitan pendidikan dan penguatkuasaan keselamatan jalan raya, lebih-lebih lagi setelah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) diserap masuk ke JPJ,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pecah Tanah Pembangunan Litar Latihan dan Ujian Memandu Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia Tiang Dua, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur Negeri Datuk Roslan Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia Datuk Isham Ishak; Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia Datuk Zailani Hashim.
Mengulas mengenai pembangunan infrastruktur berkenaan, Ka Siong berkata, projek dengan kos bernilai RM2.3 juta di atas tanah seluas 2.023 hektar itu dapat digunakan sebagai kemudahan latihan asas, pertengahan dan lanjutan untuk menghasilkan standard tenaga pengajar serta penguji yang kompeten lagi profesional setanding dengan negara-negara maju seperti China, Jepun, Korea dan Singapura.
Beliau turut menaruh keyakinan tinggi pembangunan infrastruktur itu akan dapat memberikan kemudahan prasarana kepada agensi-agensi malah ia juga dapat digunakan secara meluas dalam program jaringan industri.