Sorting by

×

Ikrar Melaka pulihara khazanah hutan

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH, 5 Jan – Melaka berikrar dan memberi komitmen penuh dalam memulihara kepelbagaian biologi dan khazanah negara yang tidak ternilai dengan turut bersama-sama menyertai Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, kempen yang dianjurkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) itu disahut kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan kesedaran pelbagai pihak mengenai betapa pentingnya kawasan liputan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti di negara kita.

Beliau juga berharap melalui program itu, ia dapat memupuk semangat cintakan alam semula jadi melalui penanaman pelbagai jenis pokok kepada segenap lapisan masyarakat serta menyokong komitmen untuk mengekalkan litupan kawasan berhutan di Malaysia termasuk di Negeri Melaka.

SULAIMAN

“Usaha ini amat penting untuk menangani perubahan iklim serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat di masa akan datang.

“Jadi, jom sertai saya mulakan azam baharu tahun 2021 dengan menanam pokok,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sambutan Program Penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Melaka bertempat di Taman Botanikal Melaka, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Salhah Salleh.

Dalam majlis itu, Sulaiman turut menyempurnakan gimik penanaman pokok ‘Merlimau’ atau nama saintifiknya ‘Suregada Multiflora’.

Views:

477
Kongsi :
Previous post Setia menunggu kepulangan suami…
Next post Agong zahir simpati kepada mangsa banjir, seru pihak berkuasa hulurkan bantuan
Ubah saiz-+=