Penggiat industri pelancongan perlu tawar promosi menarik

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 14 Jun – Pengusaha sektor pelancongan di Melaka disaran menawarkan lebih banyak promosi bagi menarik keyakinan pelancong domestik berkunjung ke negeri ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata pengecualian cukai yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap penggiat industri pelancongan pada 5 Jun lalu dijangka memberi manfaat kepada semua penggiat sektor pelancongan di negeri ini.

Katanya, berikutan itu semua penguasaha sektor itu perlu mengambil kesempatan itu dengan menawarkan promosi yang menarik selain mengutamakan kepuasan pelancong untuk terus berkunjung ke negeri ini.

“Pelancong harus diberi diskaun dengan harga menarik seperti 50 peratus ke atas sebab mereka (penggiat industri) sudah dikecualikan daripada cukai selama satu tahun.

“Jadi, para peniaga yang mementingkan penghasilan supaya ambil peluang ini untuk pergi kepada ‘volume’ (jumlah), jangan pergi kepada harga,” katanya kepada pemberita di sini.

Muhammad Jailani berkata, promosi yang diberikan itu mampu memberi persaingan kepada produk yang lain sekaligus menjadikan Melaka sebagai pilihan pelancong.

“Sebab itu kita wujudkan tagline Melaka is The Best Place To Be, kita mahu Melaka menjadi pilihan pelancong,” katanya.

Pada pengumuman 5 Jun lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata cukai pelancongan dikecualikan sepenuhnya mulai Julai ini sehingga 30 Jun tahun hadapan berikutan sektor itu antara sektor yang paling terjejas akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, tindakan itu sebagai antara langkah mengaktifkan semula kegiatan industri pelancongan di negara ini.

Views:

405
Kongsi :
Previous post Kaunter semakan, bayaran saman trafik dibuka mulai esok
Next post Traffic flow smooth on major highways last night
Ubah saiz-+=