Ambang 2021: Polis Langkawi tidak benarkan aktiviti pantai
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata arahan tersebut dikeluarkan bagi memastikan larangan sambutan ambang tahun baharu 2021 secara perhimpunan dipatuhi.
Beliau berkata larangan itu juga selari dengan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Arahan ini melibatkan aktiviti perniagaan seperti gerai jualan barangan cenderahati, gerai minuman, pertunjukan bunga api dan penjualan shisha, aktiviti tersebut boleh membuatkan orang ramai berkumpul di kawasan pantai.
“Kita akan memberi perhatian di kawasan pantai seperti di Pantai Chenang yang diketahui merupakan lokasi tumpuan ramai. Anggota polis serta agensi berkaitan akan berada di kawasan pantai bagi memastikan arahan tersebut dipatuhi,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Shariman berkata larangan tersebut hanya berkuat kuasa kepada aktiviti di kawasan pantai, namun bagi perniagaan di sepanjang Jalan Pantai Chenang masih boleh beroperasi seperti biasa.
Ketika ditanya mengenai tempoh pelaksanaan larangan tersebut, Shariman berkata perintah itu berkuat kuasa sepanjang tempoh menyambut tahun baharu.
“Tempoh larangan sehingga pagi esok, namun polis akan menilai keadaan semasa di pantai sebelum membenarkan semula sebarang perniagaan dan aktiviti diadakan semula,” katanya.
Pada Isnin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sambutan tahun baharu 2021 secara perhimpunan adalah tidak dibenarkan.
Beliau berkata sambutan yang biasanya disambut secara besar-besaran itu boleh mewujudkan risiko penyebaran COVID-19 jika ia dianjurkan di mana-mana lokasi di negara ini. – BERNAMA