Cadangan buka sempadan: Melaka bakal terima impak positif
AYER KEROH 29 Dis. – Persatuan Pelancongan Melaka (MTA) menjangkakan lebih 60 peratus pelancong berkunjung ke negeri ini jika cadangan kerajaan membuka sempadan kepada negara-negara zon hijau COVID-19Â dilaksanakan.
Presidennya, Madelina Kuah Way Lee berkata, cadangan kerajaan untuk mengadakan rundingan dengan negara-negara seperti Singapura, Brunei, Korea, Jepun, Taiwan dan New Zealand yang dikenal pasti sebagai kawasan zon hijau itu pastinya dapat membantu meningkatkan semula ekonomi sektor pelancongan negeri.
“Di Melaka kita menyediakan pelbagai produk pelancongan yang menarik, kedatangan pelancong baharu sudah pasti menjadi keutamaan kita,” katanya kepada Melaka Hari Ini di sini.
Jelasnya, bagaimanapun orang ramai masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan supaya pandemik COVID-19 dapat dihapuskan.
“Jika sempadan dibuka, kita jangka 60 hingga 70 peratus pelancong akan datang, namun SOP seperti memakai pelitup muka, guna cecair pembasmi kuman dan penjarakan fizikal perlu dipatuhi,” katanya.
Menurut Madelina, setakat hari ini pelancong yang datang ke Melaka majoritinya adalah dari Selangor, Kelantan, Kuala Terengganu dan Pulau Pinang.
Ahad lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Kerajaan Persekutuan sedang mempertimbangkan untuk membuka pintu sempadan negara selepas menerima banyak permintaan daripada para pemain industri tempatan berhubung perkara tersebut.
Menurut Nancy, kerajaan sedang mengadakan rundingan dengan negara-negara zon hijau antaranya Brunei, Korea Selatan, Jepun, Taiwan, Singapura serta New Zealand bagi membolehkan pelancong dari negara berkenaan hadir ke negara ini.