Sorting by

×

Ibu tunggal tak mengaku tipu insurans lebih RM700,000

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 29 Dis – Sanggup menyamar sebagai ejen insurans bagi memperdaya mangsa sehingga mengakibatkan kerugian RM719,902.98, seorang ibu tunggal dihadapkan di dua mahkamah berasingan atas 19 pertuduhan di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, di sini hari ini.

Tertuduh, Loo Mei Lin, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan yang dilakukannya antara November 2013 hingga Julai 2015 lalu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norma Ismail.

Bagi 16 pertuduhan, wanita itu didakwa memalsukan tandatangan seorang wanita berusia 27 tahun bagi permohonan insurans hayat di pejabat Allianz Life Insurance beralamat di Taman Melaka Raya, daerah Melaka Tengah.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471/465 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, ibu kepada tiga anak itu didakwa memperdaya Teh Eet Meng dengan menyamar sebagai ejen insurans berdaftar yang menjanjikan akan membeli 16 polisi insurans bernilai RM977, 845.21.

Bagaimanapun, tertuduh hanya membeli tiga polisi insurans bernilai RM351, 442.23 manakala baki 13 lagi tidak membuat bayaran penuh sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kerugian berjumlah RM626,402.98.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan serta denda.

Mengikut satu lagi pertuduhan, dia turut didakwa menyalahgunakan harta iaitu cek Citibank bernilai RM46,000 dan cek Ambank bernilai RM47,500 yang dilakukan di dua bank berasingan di Taman Merdeka dan Jalan Munshi Abdullah, Melaka Tengah terhadap mangsa sama.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Semua pertuduhan itu dilakukannya antara November 2013 hingga Julai 2015.

Pendakwaan dilakukan Anis Wahida Mohamad dan Mazuin Hashim manakala tertuduh diwakili Peguam Rajsurian Pillai.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan serta syarat pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 20 Januari depan untuk sebutan semula kes.

 

Views:

1197
Kongsi :
Previous post Proton ‘lama’ pujaan hati pemuda UK
Next post Akses keretapi di Terminal Bas Pulau Sebang tahun depan
Ubah saiz-+=