
4,000 LAMPU SOLAR BAKAL TERANGI MELAKA
SERI NEGERI 29 April – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan berjumlah RM4 juta bagi pemasangan 4,000 unit lampu solar di seluruh Negeri Melaka.
Mengumumkan perkara itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif berkenaan secara tidak langsung membantu meningkatkan lagi aspek keselamatan terutama dalam kalangan penduduk di kawasan luar bandar.
“Projek berimpak tinggi ini bakal memberikan manfaat besar kepada orang Melaka khusus mereka tinggal di kampung-kampung. Inisiatif ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam memastikan rakyat menikmati kemudahan asas secara menyeluruh.
“Kerajaan Negeri mencadangkan agar pemasangan lampu solar ini difokuskan di jalan-jalan kampung yang kurang pencahayaan, demi meningkatkan lagi tahap keselamatan dan keselesaan rakyat,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian pada sidang media hari terakhir Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Bilik Tun Mutahir, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad dan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Tambah Ketua Menteri, mekanisme projek akan ditentukan dalam masa terdekat bagi memastikan agihan yang adil dan pelaksanaan yang cekap.
“Ini bukan sahaja akan menerangi kawasan gelap, malah menjadi simbol kemajuan yang lestari buat rakyat Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.