
TIADA KLUSTER ‘ILI’ DIREKODKAN DI MELAKA
SERI NEGERI 29 April – Tiada sebarang kluster berkaitan kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) direkodkan di Negeri Melaka setakat ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pemantauan berterusan yang dilakukan sekitar negeri ini menunjukkan tiada peningkatan dalam bilangan kes ILI yang boleh mencetuskan kluster.
Hee Sem berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka terus mempergiat usaha bagi mencegah wabak berjangkit tersebut daripada menular di negeri ini.
“Berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, tiada kes atau kluster ILI yang direkodkan setakat ini namun pihak jabatan akan terus melakukan pemantauan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Bilik Mesyuarat Tun Mutahir, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan sebanyak 28 kes kluster ILI direkodkan di sebuah institusi pendidikan di daerah Kuala Muda, Kedah.
Ia membabitkan seramai 158 pelajar dengan kadar serangan 17.7 peratus.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.