Sorting by

×

DUA SYARAT UNTUK PENTERNAK BABI PAYA MENGKUANG

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

SERI NEGERI 29 April – Penternak babi di Paya Mengkuang, Kuala Sungai Baru perlu mematuhi dua syarat ketat yang ditetapkan sekiranya mahu meneruskan kembali operasi penternakan mereka.

Perkara itu ditegaskan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh memandangkan Paya Mengkuang kini diwartakan sebagai kawasan wabak Demam Babi Afrika (ASF).

Jelas beliau, syarat utama yang perlu dipatuhi ialah tiada lagi penternakan secara konvensional iaitu secara terbuka dilakukan, sebaliknya setiap penternakan perlu dibuat secara tertutup.

Manakala syarat kedua pula, ujar beliau adalah mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Melaka yang memastikan babi-babi yang diternak bebas penyakit.

“Jika tidak mematuhi syarat ini, selagi itulah kita tidak membenarkan ladang babi ini dibuka di kawasan itu.

“Saya sendiri telah bertemu dengan penternak dan rata-rata mereka faham mengenai ketetapan ini, khususnya membuat ladang secara tertutup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di Bilik Tun Mutahir, di sini, hari ini.

Tambah Dr. Muhamad Akmal, Kerajaan Negeri menerusi JPV Negeri Melaka juga akan meminta setiap penternak menyediakan kertas kerja dan perancangan bagi membangunkan ladang secara tertutup sebelum membenarkan pembinaannya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

391
Kongsi :
Previous post RM2.5 JUTA DIPERUNTUKKAN UNTUK DANA KASIH NIAGA
Next post TUDUHAN DEMI TUDUHAN, JEMU DENGAN FITNAH POLITIK BERULANG – AB RAUF