Sorting by

×

DUA JAJARAN JALAN RAYA BAHARU DIRANCANG MPAG DI DURIAN TUNGGAL

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

SERI NEGERI 29 April – Dua jajaran jalan baharu dicadangkan untuk dibina dalam kawasan Durian Tunggal menerusi Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) 2035.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata cadangan jajaran jalan raya baharu itu bagaimanapun tertakluk kepada perancangan pelaksanaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, perkara itu membabitkan cadangan susur keluar dan masuk baharu Parit Melana bagi Lebuh Raya Utara Selatan.

“Projek ini masih dalam perancangan dan tindakan JKR Negeri Melaka. Cadangan kedua pula melibatkan jalan raya di Kampung Parit Melana ke Kampung Bukit Bulat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Zahari Abd Kalil (BN-Durian Tunggal) mengenai pembangunan kawasan komersil dalam kawasan Durian Tunggal pada Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata jika dilaksanakan kelak projek itu akan memberikan impak sosial atau kesan langsung kepada penduduk sekitar daripada segi sosio ekonomi, fizikal dan sosial.

“Antara impak yang akan diterima penduduk selepas pembinaan jalan baharu atau pelbagai pembangunan baharu dalam kawasan Durian Tunggal ini adalah daripada segi pemerkasaan ekonomi,  wujudnya ruang serta peluang.

“Infrastruktur dan akses telekomunikasi jalur lebar juga akan dibangunkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1235
Kongsi :
Previous post PESAWAH MELAKA DAPAT BENIH PADI BERKUALITI HARGA MURAH
Next post SISTEM MAKLUMAT HOSPITAL MELAKA DINAIK TARAF