Sorting by

×

BERAS MELAKA DIJUAL DI 4 LOKASI

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 29 April – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, hari ini, melancarkan fasa pertama pengeluaran Beras Melaka secara rasminya.

Beliau memaklumkan, untuk fasa pertama, sebanyak 4,000 kampit beras 10 kilogram akan dijual kepada rakyat di negeri ini pada harga RM26 sahaja.

Menurut Ab Rauf, bagi memastikan rakyat mudah mendapatkan Beras Melaka, terdapat empat lokasi ditetapkan akan menjual beras berkenaan yang dikendalikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Jelas beliau, empat lokasi itu adalah pasar tani, Agrobazaar Kedai Rakyat, Program Jualan Agro MADANI dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

“Di Melaka terdapat enam lokasi pasar tani iaitu Alor Gajah yang beroperasi pada hari Ahad bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari; Masjid Tanah (Sabtu, 8 pagi – 12 tengah hari); Lubok Cina (Jumaat, 4 petang – 9 malam); Merlimau (Selasa dan Ahad, 8 pagi – 12 tengah hari); Jasin (Rabu dan Sabtu, 8 pagi – 12 tengah hari dan Selandar (Khamis, 8 pagi – 12 tengah hari).

“Manakala Agrobazaar Kedai Rakyat terdapat 28 buah merangkumi tujuh di daerah Alor Gajah, 10 di daerah Jasin dan 11 buah di daerah Melaka Tengah.

“Bagaimanapun, lokasi jualan akan sentiasa dikemas kini bergantung kepada jadual aktiviti FAMA Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Beras Melaka sempena Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di Bilik Tun Mutahir, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dan Pengarah FAMA Negeri Melaka Nor Azhar Abdul Hamid.

Sementara itu, Dr. Muhamad Akmal memaklumkan, untuk fasa pertama, Beras Melaka dihadkan kepada satu kampit untuk satu keluarga sahaja bagi setiap jualan.

Menurut beliau, beras itu bagaimanapun tidak boleh dijual kepada warga asing, justeru setiap pembeli diminta membawa kad pengenalan bagi tujuan pemeriksaan sekiranya perlu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

580
Kongsi :
Previous post MELAKA TERIMA RM1.7 JUTA PERUNTUKAN MARRIS BAGI PEMASANGAN LAMPU JALAN TAHUN INI
Next post BIMBING BELIA KECICIRAN AKADEMIK JADI USAHAWAN