Sorting by

×

BIMBING BELIA KECICIRAN AKADEMIK JADI USAHAWAN

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SERI NEGERI 29 April – Sebanyak 30 program pemantapan dan pembangunan belia dilaksanakan sepanjang tahun oleh Kerajaan Negeri dalam menggalakkan belia yang keciciran akademik menceburi bidang keusahawanan.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin, berkata, bagi merealisasikan hasrat itu Kerajaan Negeri menubuhkan Bahagian Khidmat Musaadah dan Pembangunan Belia, selain menyediakan peruntukan bagi memperkasakan belia Melaka dalam bajet tahunan.

Katanya, Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan agensi-agensi keusahawanan antaranya Majlis Amanah Rakyat (MARA) agar belia yang keciciran dalam akademik dapat berjinak dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.

“Pihak MARA telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan belia keciciran akademik menjadi usahawan kecil bagi meneruskan kelangsungan hidup antaranya menerusi Program Kemahiran TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) di GIATMARA dengan mengadakan Program Training Income Generation  selama enam bulan.

“Selain MARA, UDA Holding juga turut menyediakan tapak perniagaan seperti di MOTERN WALK kepada belia berminat dalam bidang keusahawanan, setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) pada hari ketiga Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, hari ini.

Katanya, menerusi Dana Bantuan Kasih Niaga seramai 1,296 menerima manfaat sejak 2021 sehingga 2023 membabitkan peruntukan antara RM500,000 hingga RM1 juta setiap tahun.

“Bagaimanapun pada 2024 Dana Bantuan Kasih Niaga ditukar kepada Dana Pembangunan Usahawan. Menerusi kaedah baharu ini sebanyak RM200,000 diperuntukkan dan membabitkan 43 penerima.

“Penerima kedua-dua dana ini adalah mereka yang berusia bawah 40 tahun,” katanya .

Jelasnya, selain itu sehingga kini terdapat 18,483 penerima di bawah 40 tahun yang memiliki lesen aktif di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

419
Kongsi :
Previous post BERAS MELAKA DIJUAL DI 4 LOKASI
Next post BANTUAN PENDIDIKAN ANAK-ANAK B40 DI MELAKA MENINGKAT TAHUN INI