Sorting by

×

TIGA TAMAN PERUMAHAN BAHARU BAKAL DIBINA DI DURIAN TUNGGAL

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

SERI NEGERI 29 April – Sebanyak tiga lagi taman perumahan baharu sedang dalam perancangan untuk dibangunkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata dua projek terletak dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan satu lagi di bawah Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Mengulas lanjut Rais berkata, pembinaan taman baharu itu adalah untuk menampung populasi yang semakin meningkat.

“Bagi taman baharu dalam kawasan MPAG, cadangan perumahan telah diluluskan adalah Taman Bukit Perdana yang berkeluasan 78 hektar dengan jumlah 3,035 unit rumah dan 24 unit kedai.

“Sementara itu di taman terbabit juga turut disediakan tapak sekolah rendah, dewan, masjid baharu, tadika dan tapak tanah perkuburan dengan keseluruhan tapak-tapak kemudahan ini seluas empat hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dan soalan tambahan Datuk Zahari Abd Kalil (BN-Durian Tunggal) mengenai penambahan taman perumahan dalam kawasan Durian Tunggal pada Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata untuk dua taman perumahan di bawah MPHTJ adalah membabitkan Taman Bukit Tambun dengan jumlah kediaman melibatkan 2,149 unit berkonsepkan skim terbuka.

“Seterusnya projek baharu di Ambassador Village dengan jumlah kediaman sebanyak 902 unit berkonsepkan komuniti berpagar.

“Dengan terbinanya taman-taman baharu dalam kawasan Durian Tunggal ini sudah semestinya pertambahan penduduk akan membawa kepada pembangunan pelbagai fasiliti, kemudahan infrastruktur seterusnya menjadikannya sebagai pekan yang maju,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

760
Kongsi :
Previous post TUGU KEDAULATAN NEGARA ADA DI PULAU KONET
Next post MELAKA TERIMA RM1.7 JUTA PERUNTUKAN MARRIS BAGI PEMASANGAN LAMPU JALAN TAHUN INI