
PULAU KONET JADI SEBAHAGIAN KORIDOR TENAGA NEGERI MELAKA
SERI NEGERI 29 April – Pulau Konet yang terletak di perairan Telok Gong, Kuala Linggi telah diwartakan sebagai sebahagian kawasan Koridor Tenaga Negeri Melaka (MEC).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pulau milik Perbadanan Melaka (MCORP) itu diwarta dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 25 Mei 2022 dan disahkan pada 31 Mei 2022.
Beliau memaklumkan, pembangunan yang dirancang adalah tambakan tanah di sekitar pulau seluas 202 hektar, di mana ia merupakan antara usaha untuk membesarkan Kawasan Perindustrian Telok Gong bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan.
“Selain itu, pembangunan di kawasan ini juga akan memfokuskan kepada empat komponen iaitu pertama pembangunan industri maritim dan perkapalan.
“Kedua, pembangunan industri sokongan minyak dan gas; ketiga pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dan terakhir kemudahan infrastruktur bagi menyokong pertumbuhan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) dan soalan tambahan daripada Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) pada Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Menurut Ab Rauf, pulau berkenaan tidak dirancang untuk dibangunkan sebagai kawasan pelancongan rekreasi dan laut Negeri Melaka memandangkan dapatan hasil pemantauan yang dijalankan Jabatan Perikanan Negeri Melaka mendapati
kehadiran terumbu karang di kawasan itu adalah kecil, selain tiada kehadiran ikan hiasan direkodkan.
“Ia adalah disebabkan keadaan dasarnya yang berlumpur, selain jarak pandangan di dalam air adalah kosong dan tidak sesuai untuk aktiviti menyelam,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.