
BERGELUT BANTU POLIS TANGKAP PERAGUT, ENAM ‘RIDER’ TERIMA PENGHARGAAN
AYER KEROH 28 April – Enam penunggang p-hailing menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Melaka, atas jasa mereka membantu polis memberkas seorang suspek kes ragut di Plaza Pandan Malim, Malim, minggu lalu.
Penyerahan surat penghargaan itu disampaikan sendiri oleh Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar, pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Salah seorang penerima sijil, Muhammad Haikal Mohd Yassin, 22, berkata, dia berterima kasih atas penghargaan itu dan sejujurnya tidak mengharapkan balasan sebaliknya hanya ingin menabur bakti di tempat syarikatnya bekerja, sekali gus membantu pihak polis.
Berkongsi pengalamannya, Muhammad Haikal berkata, dia yang juga antara individu terawal menyedari kejadian, membantu mengejas suspek hingga berjaya diberkas.
“Kira-kira jam 12.19 tengah kami mendapat maklumat lokasi suspek dan 14 minit kemudian dapat tangkap meskipun berlaku pergelutan dengan suspek kerana dia memberontak mahu melarikan diri,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penunggang p-hailing, Abdul Aziz Ibrahim, 55, berkata, dia dihubungi polis yang memohon bantuan untuk mengesan suspek yang menyamar sebagai penunggang p-hailing dalam kejadian itu.
“Saya menubuhkan kumpulan Whatsapp melibatkan ‘rider’ yang boleh dipercayai untuk mengesan penjenayah terbabit.
“Selepas diselidiki peragut itu menggunakan kad identiti ‘rider’ palsu dan kami terus bekerjasama dengan pasukan polis yang memerlukan bantuan.
“Alhamdulillah, gembira…Tidak sangka dapat penghargaan seumpama ini. Ini pertama kali buat diri saya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.