
TAK SEMPAT TAMATKAN PERLUMBAAN DI LITAR, GURU DISAHKAN MAUT AKIBAT SERANGAN JANTUNG
DURIAN TUNGGAL 28 April – Seorang guru lelaki disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan, kira-kira lima jam selepas mengalami serangan jantung ketika mengikuti perlumbaan di Litar Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC), Durian Tunggal, di sini, petang semalam.
Terdahulu dalam kejadian jam 5 petang Honda Civic dipandu mangsa berusia 48 tahun itu terbabas ketika sedang melalui selekoh tajam di litar berkenaan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan awal kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahagian kiri litar.
“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut, namun penjawat awam itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 10 malam.
“Berdasarkan laporan bedah siasat kematian mangsa disahkan berpunca daripada serangan jantung. Kami turut memanggil penganjur perlumbaan, dan hasil semakan dijalankan mendapati acara itu dianjurkan secara sah dan mempunyai lesen,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini.
Sehubungan itu Dzulkhairi, mengingatkan semua peserta dan pengajur supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam setiap penganjuran di litar perlumbaan bagi mengelakkan sebarang kecelakaan.
“Kereta mangsa dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.