
MELAKA SASAR JADI PUSAT RUJUKAN TVET NEGARA – AB RAUF
SERI NEGERI 28 April – Melaka menyusun strategi bagi mencapai hasrat menjadikan negeri ini sebagai Pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, selain terus memperkasakan TVET antara aspek turut diberikan penekanan adalah meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan kemahiran dan memperkukuh jaringan kerjasama dengan pihak industri.
Katanya, Kerajaan Negeri juga mempergiatkan lagi usaha dalam memastikan graduan TVET Melaka menjadi rebutan industri dan bukan sekadar pencari kerja.
“Setakat ini, lebih 30 syarikat di Melaka aktif melaksanakan Kursus Induksi Sistem Latihan Dual Nasional melibatkan sektor automotif, pembuatan, elektrik dan elektronik.
“Bukan itu sahaja, hasil hubungan strategik dengan negara luar, Guangxi, China berbesar hati menawarkan lima daripada keseluruhan 15 biasiswa TVET kepada anak-anak Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Usul Terima Kasih Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka pada Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah juga menerima peralatan canggih daripada syarikat Jepun, Aichi Daihatsu.
“Perkembangan positif ini membuka laluan kepada penubuhan ‘teaching factory’ yang bakal menjadi pusat latihan automotif rujukan seluruh negara. Ini menguatkan lagi pencapaian Melaka dalam arena TVET antarabangsa.
“Berkait itu juga, tahniah diucapkan kepada Kolej Komuniti Masjid Tanah (KKMT) atas kemenangan Anugerah Perak di WorldSkills TVET College China International Institution 2024.
“Kita akan terus memperkukuh ekosistem TVET dengan pelaburan berstrategi, inisiatif berfokus dan jaringan kerjasama merentas dunia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.