Sorting by

×

PUSAT SEHENTI HUBUNGKAN USAHAWAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SERI NEGERI 28 April – Kerajaan Negeri mewujudkan Pusat Sehenti Usahawan (OSCE) di Aras 5, Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) sebagai hab strategik usahawan Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata usaha itu bukti kesungguhan Kerajaan Negeri dalam melahirkan usahawan berdaya maju sebagai tunjang ekonomi negeri yang mampan dan berdaya saing.

Katanya, OSCE berfungsi sebagai lokasi menghubungkan usahawan kepada pembiayaan, latihan dan jaringan industri melalui agensi seperti MARA, SME Corp atau TEKUN Nasional.

“Sebagai usaha memperkasa usahawan tempatan, sebuah pusat inkubator lengkap dengan fasiliti canggih bakal ditubuhkan pada tahun ini.

“Usaha ini merupakan hasil kerjasama syarikat swasta dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan sokongan peruntukan RM300,000 daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ucapan Usul Terima Kasih Yang di-Pertua Negeri Melaka pada Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut menggalakkan semua usahawan Melaka memanfaatkan platform diwujudkan untuk mencipta peluang seterusnya melonjakkan Melaka ke peta ekonomi dunia.

“Kita juga harapkan selepas pusat sehenti yang dibuka dan pusat inkubator yang bakal dibina ini siap dapat digunakan sepenuhnya oleh usahawan tempatan khususnya dalam kalangan anak muda dan koperasi dalam menghasilkan produk jenama sendiri pada kos yang lebih rendah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

224
Kongsi :
Previous post 12 TUNJANG KELESTARIAN MELAKA – KM
Next post MELAKA SASAR JADI PUSAT RUJUKAN TVET NEGARA – AB RAUF