
PERUNTUKAN SUKAN RM660,000 SETAHUN GALAK GAYA HIDUP SIHAT
SERI NEGERI 28 April – Sejumlah RM660,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi penganjuran Kejohanan Piala Ketua Menteri Melaka sebagai usaha mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat di negeri ini.
Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP Shanmugam berkata, kejohanan tersebut melibatkan penganjuran sukan berskala besar selain pembangunan belia dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka dan agensi berkaitan di 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kejohanan ini bertujuan merapatkan silaturahim antara masyarakat dalam DUN dan Kerajaan Negeri. Ia melibatkan semua golongan belia, bermula di peringkat DUN dan berakhir di peringkat negeri.
“Antara sukan yang dipertandingkan termasuk bola sepak, futsal, sepak takraw, bola keranjang, bola jaring dan snuker, menggunakan sembilan fasiliti sukan yang berbeza mengikut kesesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Siti Faizah Abdul Azis (BN-Sungai Rambai) mengenai usaha Kerajaan Negeri memperkasa golongan belia di Sungai Rambai termasuk menyediakan peluang dalam bidang sukan pada Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri di sini, hari ini.
Antara fasiliti sukan yang terlibat adalah Dewan Badminton MSN Melaka, Padang 10 Bola Sepak, Wisma MAFA, Stadium Hang Tuah, Stadium Bukit Serindit, Dewan Bola Keranjang MBMB, Dewan Kompleks Sukan Komuniti Krubong dan Kompleks Sukan Batu Berendam.
Mengulas lanjut, Shanmugam berkata MSN Melaka juga komited dalam usaha mencungkil bakat baharu dalam bidang sukan prestasi tinggi di negeri ini.
“Antara sukan berprestasi tinggi yang diberi perhatian termasuk wushu, judo, ping pong, angkat berat, tinju, karate, akuatik, berbasikal, pelayaran, memanah, boling padang, olahraga, taekwondo, menembak, gimnastik, skuasy dan tenpin boling.
“Golongan belia berbakat turut digalakkan menyertai program pembangunan sukan seperti National Football Development Program (NFDP) dan National Hockey Development Program (NHDP) dengan bimbingan dan peluang yang disediakan oleh MSN Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.