
MELAKA JADI TERAWAL SESUAIKAN DIRI DENGAN REALITI EKONOMI BAHARU – KM
SERI NEGERI 28 April – Menyesuaikan diri dengan realiti ekonomi baharu di tengah-tengah perubahan global menjadi misi utama Kerajaan Negeri Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Melaka tidak boleh menjadi penonton sahaja, sebaliknya mesti jadi yang terawal menyesuaikan diri dengan tiga sektor ekonomi baharu.
Jelas beliau, tiga ekonomi baharu itu adalah ekonomi hijau, ekonomi digital dan ekonomi teknologi tinggi.
“Lawatan rasmi Presiden China ke Malaysia baru-baru ini menjadi isyarat jelas kepada pelabur antarabangsa yang yakin dengan kestabilan negara dan melihat Melaka sebagai pintu masuk baharu ke rantau ASEAN, khususnya dalam sektor teknologi hijau dan mobiliti pintar.
“Atas sebab itu juga, kerajaan negeri bertindak pantas apabila menerima undangan mengadakan lawatan kerja ke Shanghai pada minggu lepas bagi membuka jalan kepada kerjasama dalam industri kenderaan elektrik (EV).
“Ini adalah permulaan kepada gelombang pelaburan baharu dari China. Maka kita akan terus melangkah pantas. Kita permudah urusan perniagaan melalui Melaka Industrial Booster… Kita perkemas infrastruktur digital dan fizikal… Paling penting, kita persiapkan bakat anak negeri untuk ekonomi masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Ucapan Usul Terima Kasih Yang di-Pertua Negeri Melaka pada Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri di sini, hari ini.
Menurut Ketua Menteri, dengan sokongan semua pihak, Melaka mahu membuktikan bahawa negeri ini bukan sekadar negeri bersejarah, bahkan akan menjadi negeri masa depan yang kekal mampan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.