Sorting by

×

MELAKA SASAR JUMLAH PELABURAN CECAH RM10 BILION MENJELANG 2030

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SERI NEGERI 28 April – Melaka menyasarkan pelaburan baharu RM5 bilion setiap tahun dan menjangkakan jumlah pelaburan yang masuk ke negeri ini boleh mencecah RM10 bilion menjelang tahun 2030.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jangkaan itu susulan pencapaian luar biasa nilai pelaburan Melaka yang merekodkan nilai RM8.18 bilion berbanding sasaran asal pada RM5 bilion.

Beliau memaklumkan, bagi melonjakkan daya saing Melaka, Kerajaan Negeri juga merangka tiga pembangunan di kawasan perindustrian strategik iaitu MCORP High Tech Park di daerah Alor Gajah; German Technology Park (GTP) di daerah Melaka Tengah dan ELKAY 2.0 di daerah Jasin.

“Inisiatif ini bakal menjana lebih 50,000 peluang pekerjaan dan memacu pembangunan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi.

“Dengan strategi ini, Melaka bersedia untuk muncul sebagai antara pemain utama dalam sektor teknologi tinggi dari semikonduktor ke teknologi hijau, dari automasi ke ‘machinery & equipment’.

“Sungguhpun ekonomi dunia sedang bergelora, namun ada peluang yang menanti di sebalik gelora. Negara-negara sedang mencari destinasi pelaburan yang stabil, selamat dan strategik. Melaka mesti tampil sebagai jawapan kepada pencarian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ucapan Usul Terima Kasih Yang di-Pertua Negeri Melaka pada Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut mengharapkan komitmen utuh dan kerjasama erat di antara Kerajaan Negeri dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan pihak swasta bagi merealisasikan aspirasi Melaka sebagai negeri mesra pelabur.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

157
Kongsi :
Previous post BERAS MELAKA HANYA UNTUK WARGANEGARA MALAYSIA
Next post MELAKA PERKENAL 800 PRODUK PELANCONGAN UNTUK MERIAHKAN TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026