
KERAJAAN NEGERI GIAT LAKSANA INISIATIF PERANGI AEDES
SERI NEGERI 28 April – Jumlah kes denggi direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka sepanjang 2024 meningkat kepada 2,203 kes berbanding cuma 1,221 yang dilaporkan sepanjang tempoh sama pada 2023.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata berlaku peningkatan sebanyak 80 peratus atau 982 kes denggi di Melaka.
Mengulas lanjut Hee Sem berkata, angka itu turut melibatkan dua kematian akibat denggi yang direkodkan di daerah Melaka Tengah dan Jasin.
“Susulan peningkatan ketara ini Kerajaan Negeri giat laksanakan pelbagai inisiatif dan usaha pencegahan wabak denggi.
“Antaranya yang dilaksanakan adalah memperkasa aktiviti gotong-royong mega perangi aedes dan kempen satu jam setiap Sabtu untuk musnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Adly Zahari (PH-Bukit Katil) mengenai penularan wabak denggi yang meningkat di Melaka pada Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Selain itu Hee Sem turut menjawab soalan tambahan daripada Adly Zahari mengenai penggunaan teknologi terkini bagi mencegah wabak denggi.
Menurut Hee Sem, pihaknya melaksanakan teknologi pelepasan nyamuk Berwolbachia di lima lokaliti dengan keberkesanan sehingga 70 peratus.
“Lima lokaliti terbabit termasuk dalam kawasan Sungai Udang; Ayer Keroh, Bemban dan Telok Mas.
“Setiap projek pelepasan nyamuk Berwolbachia ini sebanyak 25,000 ekor nyamuk dilepaskan dengan kos RM0.50 seekor,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.