Sorting by

×

INSTITUT TUN PERAK SELIDIK PERANAN LAKSAMANA CHENG HO DALAM HUBUNGAN MELAKA DAN CHINA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SERI NEGERI 28 April – Institut Tun Perak (ITP) sedang menjalankan kajian terperinci mengenai peranan Laksamana Cheng Ho melibatkan hubungan diplomatik antara China dan Kesultanan Melayu Melaka pada awal abad ke-15.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata kajian dilaksanakan adalah susulan pembentangan Bajet 2025 Negeri Melaka yang menggariskan keperluan memperkukuh pemahaman terhadap hubungan bersejarah ini.

“Antara fokus utama kajian adalah meneroka laluan pelayaran Laksamana Cheng Ho sepanjang tujuh ekspedisinya ke kawasan Barat, termasuk persinggahan penting beliau di Melaka.

“Menurut catatan sejarah dalam Ming Shi Lu, rekod rasmi Dinasti Ming Maharaja China ketika itu menghadiahkan persalinan diraja kepada Parameswara, Sultan Melaka. Selain mendirikan Tugu Bukit Pelindung di Melaka pada tahun 1405.

“Langkah ini menandakan hubungan diplomatik rasmi antara kedua-dua pihak. Hubungan erat tersebut turut membawa manfaat besar kepada Melaka, termasuk perlindungan daripada ancaman serangan Siam selepas Melaka diiktiraf sebagai negeri di bawah naungan China,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) mengenai usaha dilakukan dalam kajian sejarah Laksamana Cheng Ho di Melaka dan sumbangannya pada Persidangan Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, kajian itu penting bagi mengesahkan rekod sejarah berhubung persinggahan Laksamana Cheng Ho di Melaka.

“Ia termasuk menilai sumbangan beliau terhadap perkembangan politik dan ekonomi negeri pada masa itu.

“Usaha ini bukan sahaja akan memperkaya naratif sejarah Melaka, malah berpotensi meningkatkan lagi nilai warisan negeri di peringkat antarabangsa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

281
Kongsi :
Previous post LIPUTAN 5G DI MELAKA CAPAI 89.7 PERATUS, CAPAIAN 4G HAMPIR 100 PERATUS
Next post SEMUA MASJID DI MELAKA DIMINTA LAKSANA SOLAT HAJAT, QUNUT NAZILAH UNTUK PALESTIN