
TANAH ADAT MELAKA TIDAK DIPINDAH MILIK
SERI NEGERI 28 April – Semua tanah adat (MCL) di Melaka akan kekal dengan status MCL dan tidak akan dipindah milik kepada mana-mana syarikat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sejak 1992 hingga 2025, sejumlah lebih 42,000 hektar tanah MCL telah dibangunkan di seluruh negeri.
Jelas beliau, kesemua tanah itu dimajukan Perbadanan Tanah Adat Melaka (PERTAM) secara bersama dengan syarikat atau pemaju terpilih.
“Ini selari dengan dasar pembangunan Negeri Melaka di semua tanah-tanah MCL perlu kekal dengan status MCL.
“Sejak PERTAM ditubuh pada 1991, pembangunan kawasan (tanah adat) masih kekal dan tidak pernah dipindah milik kepada mana-mana syarikat, sebaliknya ia dimaju secara bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Dr. Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) pada Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Dewan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan, daerah Melaka Tengah merupakan kawasan tanah adat terbesar dimajukan PERTAM iaitu dengan keluasan tanah berjumlah lebih 19,000 hektar, diikuti lebih 11,000 hektar di Alor Gajah dan Jasin berjumlah lebih 10,000 hektar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.