
SUNGAI MELAKA FASA DUA BERKONSEPKAN RIADAH AKAN DISERAHKAN KEPADA PPSPM JUN INI
BANDARAYA MELAKA 29 April – Sungai Melaka Fasa Dua akan diserahkan kepada Perbadanan Pembangunan Pantai dan Sungai Melaka (PPSPM) pada Jun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, Sungai Melaka Fasa Dua ketika kini masih dalam proses pembangunan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.
Bagaimanapun, katanya pihak PPSPM telah meminta beberapa plot di bawah Sungai Melaka Fasa Dua daripada JPS negeri untuk pembangunan beberapa produk tarikan sebelum diserahkan sepenuhnya pada awal Jun nanti.
“PPSPM merancang untuk mengaktifkan beberapa pakej pelancongan bagi memberi peluang kepada pengunjung dan warga Melaka menikmati produk-produk baharu PPSPM.
“Kita mahukan Sungai Melaka Fasa Dua ini berkonsepkan moden dan riadah, akan datang ia boleh diisi dengan pelbagai program menarik.
“Sungai Melaka Fasa Dua sepanjang lapan kilometer (km) ini akan mempunyai dimensi pemandangan berbeza yang mana PPSPM merancang pelbagai agenda untuk menjadikannya sebagai lokasi bersesuaian untuk diisi dengan pelbagai program serta produk baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya PPSPM di Dataran Pengkalan Rama baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Shaharul Azuar berkata pihaknya telah berbincang dengan JPS negeri mengenai pembangunan Sungai Melaka Fasa Dua dan konsep sepenuhnya akan diuruskan oleh PPSPM.
“Kita sudah merancang secara teliti untuk melaksanakan pelbagai pakej menarik selepas Sungai Melaka Fasa Dua ini diserahkan kepada PPSPM.
“Kita akan membuat persediaan untuk melaksanakan program menjelang Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025) nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.